Followers

Sunday 12 June 2011

Faktor Menggalakkan Pelancongan di Malaysia.


Sektor pelancongan merupakan salah satu industri perkhidmatan terpenting di negara kita. Bincangkan faktor-faktor yang merangsang perkembangan industri pelancongan tersebut.
 
............Malaysia merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di dunia. Saban tahun, jumlah pelancong yang direkodkan semakin bertambah bukan sahaja pelancong dari negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia malah turut menjadi tumpuan pelancong asing dari Asia Barat, Eropah dan Amerika Syarikat. Industri pelancongan ini juga mempunyai potensi besar dan mampu dijadikan sumber ekonomi baharu yang menguntungkan. Justeru, banyak syarikat besar yang tumbuh “bak cendawan selepas hujan” mahupun agensi kerajaan yang giat melaksanakan usaha bagi menarik pelancong berkunjung ke Malaysia. Sebenarnya terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pelancong.

............Antara faktor tersebut adalah kerana Malaysia mempunyai banyak tempat menarik untuk dilawati. Tempat menarik tersebut lazimnya menjadi tumpuan pelancong asing yang berkunjung ke negara kita. Sebagai contohnya, Malaysia memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan tropika. Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi iaitu hutan hujan Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini pelancong dapat menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya mahupun menjalankan kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di situ. Justeru, kewujudan kawasan reakrasi seperti ini dapat menarik pelancong dari dalam dan dari luar negara.

............Selain itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga disebabkan oleh keadaan iklim semula jadinya yang panas sepanjang tahun. Corak iklim seperti ini amat digemari oleh pelancong asing khususnya pelancong dari negara-negara barat seperti negara Eropah dan Amerika Syarikat. Ramai pelancong barat yang mengambil kesempatan bercuti di Malaysia untuk berjemur di bawah sinaran matahari terik terutamanya di kawasan pantai yang terdapat di Malaysia. Hal ini disebabkan juga oleh keadaan pantai yang terdapat di Malaysia amat cantik, bersih dan berpasir putih. Di kawasan pantai ini juga disediakan pelbagai aktiviti untuk para pelancong seperti berkayak, berperahu layar mahupun mandi-manda. Oleh itu, keistimewaan tersebut berjaya menambat hati para pelancong untuk terus berkunjung ke negara kita.

............Di samping itu, perkembangan industri pelancongan di negara kita juga turut disebabkan oleh kewujudan banyak pulau yang indah dan menarik. Di antara pulau yang menjadi tumpuan para pelancong di negara kita termasuklah Pulau redang, Pulau Kapas dan Pulau Tioman. Kemudahan prasarana di kawasan ini dijaga dengan rapi bagi memastikan kawasan ini sentiasa bersih dan selesa untuk kunjungan para pelancong. Para pelancong juga akan dapat merasai “syurga dunia” dengan melakukan aktiviti skuba di kawasan batu karang yang terletak di Pulau Kapas sehingga diakui sebagai satu daripada tujuh keajaiban dunia. Bagi memastikan pelancong dapat menikmati keindahan semula jadi di kawasan pulau tersebut, kerajaan telah mewartakan kawasan itu sebagai Taman Laut. Jadi, dengan adanya keistimewaan tersebut, Malaysia dapat menarik lebih ramai pelancong yang sekaligus dapat menjana kemajuan industri pelancongan negara.

.............Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum Melayu umpamanya terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para pelancong. Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan makanan seperti Sate, ketupat dan rendang manakala kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali dan lain-lain. Justeru keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita.

.............Peranan pihak kerajaan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan pelancongan juga turut memajukan sektor pelancongan di Malaysia. Sebagai contohnya, Kementeria Pelancongan telah mengadakan pelbagai pertunjukan kebudayaan dan destinasi pelancongan Malaysia ke beberapa buah negara sebagai usaha mempromosikan Malaysia kepada pelancong asing. Tumpuan promosi bukan sahaja terhad ke negara-negara Eropah atau Amerika Syarikat malah meliputi semua negara di dunia termasuk di Asia Barat dan di Asia Timur. Pada masa yang sama, kerajaan juga turut mengadakan pelbagai aktiviti tahunan bagi menarik lebih ramai pelancong seperti mengadakan Pesta Flora Kuala Lumpur, Pesta Makanan Tradisional Malaysia, sukan Le Tour De Langkawi dan sebagainya. Malaysia juga turut memperkenalkan konsep pelancongan baru seperti “ekopelancongan”, “agrotourism”, pelancongan perubatan, pelancongan pendidikan dan lain-lain. Dengan usaha yang berterusan ini maka sektor pelancongan di Malaysia semakin berkembang maju.

.............Intihanya, sektor pelancongan merupakan sektor baru yang berpotensi untuk menyumbang pada ekonomi negara. Industri ini masih perlu diterokai kerana “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Justeru, peranan kerajaan dan agensi pelancongan berserta dengan kerjasama daripada semua masyarakat adalah amat diperlukan. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka

Usaha Menggalakkan Kemajuan Pelancongan Negara

Tahun 2007 telah diumumkan sebagai Tahun Melawat Malaysia oleh kerajaan memandangkan industri pelancongan berpotensi untuk dimajukan di negara kita. Sektor pelancongan juga perlu dimantapkan kerana sektor ini mampu memantapkan ekonomi negara kita. Banyak tempat menarik yang terdapat di negara kita boleh dikunjungi oleh pelancong-pelancong asing dan tempatan seperti di Cameron Highland, Genting Highland, bandar raya Melaka, Desaru dan sebagainya. Oleh itu pelbagai usaha boleh dilaksanakan untuk memajukan industri pelancongan tersebut sama ada oleh pihak kerajaan sendiri mahupun agensi yang berkaitan.

............Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah menambah kemudahan pengangutan dan perhubungan ke destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Kemudahan pengangkutan ini dapat memberi peluang yang lebih banyak kepada pelancong untuk pergi ke destinasi yang mereka sukai. Sebagai contohnya, kerajaan telah membina kemudahan lebuh raya baru ke Cameron Highland agar pusat pelancongan ini mudah dikunjungi pelancong. Jadual penerbangan ke Malaysia juga perlu ditambah terutama dengan mengadakan promosi tambang murah kepada pelancong asing yang ingin melawat ke Malaysia. Dengan cara ini, para pelancong akan berasa selesa apabila berkunjung ke Malaysia.

............Selain itu, usaha untuk meningkatkan jumlah tempat-tempat penginapan seperti hotel dan chalet perlu ditingkatkan. Usaha ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyakan pembinaan hotel lima bintang yang mengenakan kadar bayaran berpatutan diiringi dengan bilik yang selesa untuk menarik minat pelancong. Sebagai contohnya, usaha yang dijalankan oleh Hotel Seri Malaysia memperkenalkan pakej penginapan murah berserta makanan tradisional tempatan telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong menginap di hotel tersebut.Justeru, sekiranya usaha seperti ini dilaksanakan secara berterusan, jumlah pelancong asing yang akan kembali semula ke Malaysia akan bertambah di samping menggalakkan kedatangan pelancong baru.

............Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu mengadakan lebih banyak promosi untuk menjelaskan aktiviti pelancongan yang diadakan di negara kita. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik, kebudayaan dan karnival jualan boleh di laksanakan dengan giat sama ada di dalam mahupun di luar negara. Sebagai contohnya, kementerian Pelancongan telah mengadakan promosi kebudayaan bagi menarik pelancong dari Asia Barat seperti di Dubai dan Arab Saudi. Usaha mempromosikan negara ini juga boleh dijalankan melalui penggunaan teknologi maklumat seperti internet bagi menyebarkan maklumat tentang pelancongan di negara ini. Penggunaan internet dapat memastikan semua pelancong memperoleh maklumat berguna mengenai destinasi pelancongan menarik dan aktiviti pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat memastikan semua maklumat pelancongan disebarkan secara berkesan bagi menarik kunjungan pelancong.

............Salah satu aspek penting yang ditekankan oleh pelancong terutama pelancong asing ialah aspek kebersihan dan kemudahan prasarana. Kawasan pelancongan mestilah sentiasa bersih dan diselenggarakan dengan baik. Petugas- petugas di kawasan pelancongan perlu ditambah bagi memastikan kebersihan sentiasa terkawal. Begitu juga halnya dengan kemudahan prasarana bagi membolehkan pelancong membeli-belah dengan selesa. Sebagai contohnya, kemudahan seperti bank, insuran serta pusat membeli belah perlu dibina di kawasan pelancongan. Langkah-langkah seperti ini mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang diminati.

............Selain usaha tersebut, usaha menarik pelancong ini turut dipikul oleh rakyat negara ini. sikap ramah dan suka membantu pelancong harus diutamakan oleh rakyat Malaysia. Keramahan rakyat negara ini harus dibuktikan melalui sikap ikhlas melayan tetamu kita itu. Umpamanya, pemandu teksi yang dianggap “duta pelancongan negara” haruslah bersikap ramah, mesra dan menjauhi amalan ingin mengambil kesempatan atas kehadiran pelancong asing bagi mengaut keuntungan mudah. Rakyat perlulah menunjukkan nilai sopan santun dan lembut bahasa kerana “bahasa menunjukkan bangsa”. Jadi, rakyat negara ini harus mengubah sikap mereka dengan melayan pelancong tempatan atau asing ini dengan lebih baik agar kunjungan mereka ke Malaysia sentiasa memberi kenangan manis di sepanjang hidup mereka.

............Memandangkan persaingan dalam industri pelancongan semakin sengit, agensi-agensi pelancongan perlu bersikap lebih kreatif bagi menerokai bidang pelancongan baru. Konsep pelancongan perlu diperluaskan dengan memperkenalkan pelbagai jenis pelancongan seperti “ekopelancongan”, pelancongan alam sekitar, pelancongan pendidikan, pelancongan perubatan dan sebagainya. Hal ini sesuai dengan pepatah Melayu, “tak kenal maka tak cinta”. Jika pelancongan versi baru ini tidak dicuba di negara kita, kita tidak akan mengetahui potensi yang dapat diperoleh daripada industri pelancongan tersebut. Pada masa yang sama, pelbagai aktiviti sukan seperti Le Tour De Langkawi serta persidangan antarabangsa seperti Persidangan APEC yang diadakan di Kuala Lumpur, mampu menarik jumlah pelancong berkunjung ke Malaysia.
.
............Tuntasnya, “jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”, jika usaha yang dilakukan amat kurang dan terbatas, bagaimanakah hasrat untuk melihat sektor pelancongan di negara kita merentasi benua dan dunia menjadi nyata? Segala tindakan yang dirancang dan direncana memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka.

Kepentingan Memelihara dan Mengekalkan Bangunan Bersejarah di Negara Kita

……….Pembangunan di negara kita semakin hari semakin maju dan pesat seiring dengan nama Malaysia yang kini berjaya menempa nama di persada antarabangsa. Banyak kilang perindustrian, pusat beli-belah dan perumahan dibina bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Senario ini telah menggunakan ruang yang luas sehingga memakan tanah yang berhektar-hektar. Antara isu yang hangat yang telah dibincangkan adalah sama ada Stadium Merdeka patut dirohohkan untuk pembangunan kerana bangunan itu tidak lagi berfungsi sebagai tapak akvtiviti sukan lagi. Isu tersebut pernah menjadi polemik pelbagai lapisan masyarakat kita. Mengapakah ada kejadian seperti ini berlaku? Adakah perlu bangunan tersebut diruntuhkan? Tepuk dada tanyalah selera. Sebenarnya, terdapat pelbagai kepentingannya kita perlu mengekalkan bangunan bersejarah yang terdapat di negara kita.
.
……….
Satu daripada kemaslahatan bangunan bersejarah perlu dikekalkan ialah bangunan bersejarah dapat dijadikan sebagai bukti yang kukuh kepada sesuatu era atau peristiwa sejarah yang telah berlaku. Monumen, mengikut Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud bangunan yang dibina untuk memperingati seseorang atau peristiwa penting. Walaupun Malaysia telah mencapai kemerdekaan selama 52 tahun, kesan yang ditinggalkan oleh penjajah kolonial seperti British, Belanda dan Portugis masih dapat dilihat dan perlu dijaga dan bukanlah untuk dimusnahkan. Di samping itu, bangunan bersejarah amat penting untuk generasi kini dan juga generasi yang akan datang kerana dengan kewujudan bangunan bersejarah, kita dapat membuktikan bahawa sejarah Malaysia yang telah dicatat merupakan sesuatu yang realistik dan bukanlah cerita-cerita dongeng, mitos atau legenda. Sebagai contohnya, zaman kegemilangan bandar pelabuhan Melaka pada abad ke-15 dan abad ke-16 dapat dirasai dengan wujudnya Pintu Gerbang Porta de Santiago, Gereja Christ, Bangunan Stadhuys dan Gereja St.Paul. Selain itu, Kota Cornwallis, Masjid Kling, Gereja St.George di Georgetown, Pulau Pinang dapat mengimbas kembali detik-detik sejarah negara yang pernah suatu masa dahulu dijajah dan juga dapat membuktikan bahawa berlakunya penjajahan awal pemerintahan British di Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-18. Tegasnya, usaha meruntuhkan bangunan bersejarah dan monuman negara tidak wajar dilaksanakan.
.
……….
Pendapat sesetengah pihak yang mengatakan bahawa bangunan bersejarah perlu diruntuhkan adalah tidak berasas kerana bangunan bersejarah dan monumen lama dapat memberikan teladan dan iktibar kepada masyarakat terutamanya remaja kini yang mempunyai semangat patriotisme yang semakin menipis. Walaupun ada antara bangunan bersejarah yang hanya menggambarkan sejarah hitam negara, namun jika kita menghayati sejarah di sebalik bangunan tersebut semula serta mengambil pengajaran daripada peristiwa yang telah berlaku, maka kita dapat terus mara ke hadapan tanpa mengulangi kesilapan yang telah dilakukan oleh masyarakat terdahulu. Sebagai contohnya, Kota A Famosa di Melaka yang merupakan sebuah kubu pertahanan yang kukuh telah dibina oleh Portugis setelah mereka berjaya menakluki Melaka dapat dijadikan iktibar. Penaklukan ini terjadi kerana terdapatnya masalah perpaduan, kelemahan kepemimpinan dan juga kelemahan tentera pada zaman Kesultanan Melaka. Negara kita jugamampu menjadi negara yang setaraf dengan negara-negara maju yang lain bagai berdiri sama tinggi duduk sama rendah sekiranya kita tidak mengambil mudah dan mengambil iktibar daripada sejarah negara. Oleh itu, bangunan bersejarah di negara kita sememangnya tidak perlu diruntuhkan kerana yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.
.
……….
Bukan itu sahaja, dari sudut pelancongan pula, bangunan bersejarah dan monumen dapat menarik pelancong baik pelancong domestik mahupun pelancong dari luar negara untuk melawat ke negara kita. Bangunan ini juga menjadi salah satu faktor dominan pelancong bercuti di negara kita selain menyaksikan pemandangan alam yang indah. Oleh itu, bangunan bersejarah tidak perlu diruntuhkan sebaliknya dipulihara dan diubah suai. Sebagai contohnya, bangunan lama hendaklah diubah suai untuk dijadikan muzium, galeri seni lukis dan pusat pelancongan. Fenomena ini sudah menjadi suatu perkara biasa di beberapa buah negara Eropah seperti di England, Perancis, Itali, dan Belanda. Bandar-bandar bersejarah seperti York, Bath, Oxford, dan Cambridge di England telah berjaya melindungi sebahagian besar daripada bangunan bersejarah mereka dengan baik. Usaha seperti ini dapat menarik lebih ramai pelancong dari seluruh dunia dan dapat menjadi sumber pendapatan negara. Di samping itu, pelancong juga dapat melawat bangunan bersejarah dan melihat monumen-monumen yang terdapat di sekitar bangunan selain menikmati keindahan alam semula jadi negara kita dan artifak-artifak di dalam muzium dan galeri seni lukis bagai menyelam sambil minum air. Oleh itu, bangunan dan monumen ini secara tidak langsung dapat membantu industri pelancongan negara.
.
……….
Di samping itu, bangunan dan monumen lama juga memainkan peranan yang penting dalam pendidikan di negara kita khususnya para pelajar dan penyelidik. Pelbagai ilmu yang dapat dipelajari dengan memahami dan mengkaji bangunan dan monumen lama. Sebagai contohnya, dengan terdapatnya bangunan dan pancutan air Horse di sekitar Dataran Merdeka dan Masjid Jamek di pertemuan Sungai Gombak dan Klang di Kuala Lumpur, seseorang dapat mengetahui bukan sahaja kepentingan Kuala Lumpur dalam era kolonial British tetapi juga kehidupan dan kebudayaan masyarakat penjajah dan tempatan pada ketika itu. Bangunan Kelab Di Raja Selangor dan Dataran Merdeka telah dibina bagi kemudahan sosial dan rekreasi khasnya kepada rakyat British dan Eropah yang berkhidmat di Tanah Melayu pada akhir abad ke-19. Begitu juga halnya dengan kepentingan pancutan air Horse yang telah dibina di persimpangan Jalan Raja dan Jalan Raja Laut pada tahun 1897. Pancutan air Horse dibina sebagai memperingati seorang inspektor polis negeri Selangor, iaitu Encik Steve Harper. Pemuliharaan dan penghayatan kemaslahatan bangunan bersejarah persis peribahasa, yakni “tak kenal maka tak cinta”. Oleh itu, bangunan bersejarah dan monumen sememangnya mempunyai nilai yang tersendiri.
.
……….
Secara tuntas, bangunan bersejarah amat penting dalam pembentukan minda generasi muda negara terutamanya ke arah penghayatan warisan dan khazanah negara. Bangunan dan monumen yang bersejarah merupakan aset yang patut dipelihara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Dengan terdapatnya bangunan bersejarah, generasi baharu akan lebih menghargai dan peka akan perkembangan sejarah negara. Hal ini akan membentuk sebuah masyarakat yang sensitif terhadap sebarang perobohan atau pemusnahan bangunan bersejarah. Sesungguhnya, pihak kerajaan pula perlulah mewartakan bangunan bersejarah sebagai bangunan yang perlu dikekalkan dan dilestarikan, bak kata pepatah “tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”. Oleh hal yang demikian, mana-mana pihak yang merobohkan atau memusnahkan bangunan bersejarah, mereka perlulah dikenakan tindakan undang-undang

Kepentingan Bahasa Inggeris

Menjelang tahun 2003, bahasa Inggeris telah mula digunakan dalam pendidikan di Malaysia. Sistem ini dimulakan apabila bahasa Inggeris dijadikan bahasa penghantar untuk mata pelajaran sains dan matematik. Pelaksanaannya dijalankan secara berperingkat-peringkat yang dimulakan kepada pelajar tahun 1 serta pelajar tingkatan 1. Beberapa tahun kemudian, semua pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah telah menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya dalam pendidikan sains dan matematik. Biarpun program ini diliputi dengan pelbagai kontravesi namun tindakan kerajaan melaksanakan dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan memberi pelbagai kebaikan.

............Antara faedah menguasai bahasa Inggeris dalam pendidikan adalah bagi membolehkan pelajar menguasai isi pelajaran yang kebanyakannya bersumberkan bahasa Inggeris. Sebagai contohnya, memandangkan beberapa mata pelajaran penting seperti sains, matematik, teknologi maklumat dan sebagainya menggunakan bahasa Inggeris maka kegagalan pelajar menguasai bahasa ini akan melemahkan penguasaan pelajar dalam mata pelajaran yang disebutkan tadi. Pepatah Melayu pernah menyebut, “kalau tidak dipecahkan ruyung, masakan dapat sagunya”. Begitulah juga halnya, jika penggunaan bahasa Inggeris tidak dimulai dari sekarang, selagi itulah para pelajar akan ketinggalan dalam mata pelajaran tersebut. Justeru, penggunaan bahasa Inggeris adalah amat perlu dikuasai agar para pelajar dapat memperoleh ilmu npengetahuan yang kebanyakannya hanya dapat diperoleh melalui kemahiran berbahasa Inggeris.

............Selain itu, bahasa Inggeris juga penting dalam pendidikan di negara kita selaras dengan objektif pendidikan yang ingin melahirkan individu yang mampu bersaing dalam dunia global. Penguasaan bahasa inggeris yang dimulakan dari sekolah mampu melahirkan individu yang dapat berkomunikasi dengan berkesan dengan individu lain dari seluruh dunia. Sebagai contohnya, kemahiran berbahasa Inggeris amat penting apabila seseorang individu ditugaskan di luar Negara atau membawa misi negara di luar negara. Kegagalan berkomunikasi dengan berkesan menggunakan bahasa Inggeris akan menjejaskan pelbagai peluang baik berupa peluang ekonomi mahupun sosial. Jelasnya, pendidikan bahasa Inggeris di peringkat sekolah mampu melahirkan individu yang “berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah” dengan masyarakat lain di seluruh dunia.

............Penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan juga penting kerana dengan penguasaan bahasa tersebut para pelajar yang mendapat keputusan peperiksaan baik dapat berpeluang untuk melanjutkan pelajaran di luar Negara. Memandangkan bahasa Inggeris telah diterima sebagai bahasa antarabangsa, kebanyakan universiti teragung di seluruh dunia menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar. Jika seseorang pelajar dapat menguasai bahasa tersebut dengan baik maka peluang mereka untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara adalah lebih cerah. Sebagai contohnya, institusi pendidikan swasta seperti kebanyakan institusi pendidikan swasta di negara kita juga telah mengimplementasi penggunaan bahasa inggeris sebagai bahasa penghantar mereka di institusi pendidikan tinggi swasta. Oleh yang demikian, para pelajar yang bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pendidikan tinggi perlulah menguasai bahasa Inggeris dengan baik.

............Pada masa yang sama, penggunaan bahasa Inggeris juga penting kepada para pelajar bagi tujuan mendapatkan pekerjaan pada masa depan. Perlu diingat bahawa majikan akan lebih tertarik untuk mengambil pekerja yang mampu berkomunikasi dalam pelbagai bahasa termasuklah berbahasa Inggeris. Sebagai contohnya, pekerjaan dalam bidang telekomunikasi, penyiaran, teknologi maklumat dan sebagainya amat memerlukan penggunaan bahasa Inggeris. Oleh itu, lepasan sekolah atau universiti yang mahir berbahasa Inggeris lebih mudah mendapat pekerjaan berbanding dengan mereka yang kurang menguasai bahasa Inggeris. Tambahan pula, mereka yang mahir berbahasa Inggeris lebih diminati oleh majikan dari syarikat-syarikat besar yang biasanya menawarkan pendapatan lebih lumayan. Jelasnya, bahasa Inggeris amat penting dipelajari di sekolah demi memanfaatkan pelajar bagi tujuan membina kerjaya pada masa yang akan datang.

______Sementara itu, kemajuan ekonomi negara yang telah melepasi sempadan negara, mengakibatkan Malaysia memerlukan penduduk yang mampu berbahasa Inggeris dengan baik agar dapat bersaing dengan mereka dari seluruh dunia. Pendidikan bahasa Inggeris amat penting bagi melahirkan masyarakat yang dapat berkomunikasi dengan masyarakat antarabangsa. Sebagai contohnya, perkongsian dalam bidang ekonomi, sosial mahupun bidang teknologi memerlukan mereka yang mahir berbahasa Inggeris. Umumnya, mereka yang gagal menguasai bahasa ini akan berdepan dengan pelbagai rintangan yang dapat mengganggu komunikasi serta boleh menggagalkan peluang yang tersedia pada peringkat antara bangsa. Justeru, pendidikan bahasa Inggeris di sekolah berperanan membina masyarakat yang lebih berdaya saing pada peringkat global suatu hari nanti.

______Intihanya, bahasa Inggeris merupakan bahasa yang amat perlu dipelajari dan dikuasai oleh semua pelajar. Seseorang yang dapat menguasai bahasa ini akan lebih berkeyakinan dan mampu merebut peluang yang tersedia sama ada pada peringkat nasional atau pada peringkat antara bangsa. Namun begitu, biar bagaimana penting sekalipun bahasa Inggeris ini digunakan oleh masyarakat antarabangsa namun penggunaan bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi negara amat perlu dipertahankan dan dipertingkatkan martabatnya. Kita tidak mahu bahasa rasmi kita pupus akibat kelalaian kita mengagungkan bahasa Inggeris umpama kata pepatah Melayu “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran

Keburukan pelajar menyertai industri hiburan

Dewasa ini, industri hiburan tanah air semakin berkembang maju. Kemajuan industri ini dapat dilihat melalui monopoli media massa tempatan baik media cetak mahupun media elektronik yang lebih cenderung pada berita-berita bercorak keseronokan berbanding dengan berita bercorak pengetahuan. Namun apa yang amat dikesali, ada juga golongan yang cuba meraih keuntungan mudah dengan mengeksploitasi para remaja khususnya golongan pelajar agar melibatkan diri dalam dunia hiburan biarpun sepatutnya mereka perlu menggalas wadah memajukan diri dalam bidang pendidikan. Lantaran budaya berhibur melebihi keutamaan menuntut ilmu, situasi kini sudah pasti memberi impak yang negatif kepada generasi akan datang. Justeru, apakah kewajaran yang membolehkan golongan pelajar melibatkan diri dalam dunia hiburan dan apakah pula kesannya?

...............Antara kesan negatif yang bakal timbul ialah kesukaran pelajar untuk membahagikan waktu di antara melibatkan diri dalam dunia hiburan dengan tugas utama mereka iaitu menuntut ilmu. Dalam usia yang masih terlalu muda, dunia pelajar seharus ditumpukan sepenuhnya untuk memperoleh ilmu sebagai menggalas aspirasi menjadi insan yang berilmu dan berpengetahuan. Namun jika mereka terlibat dengan dunia hiburan, masa yang ada terpaksa dibahagikan pula dengan tanggungjawab mereka untuk memajukan diri dalam bidang hiburan. Hal ini sudah tentu akan menjejaskan keupayaan mereka meluangkan waktu pada pelajaran dan kesannya bakal memberi impak yang tidak baik kepada pelajar itu sendiri. Sekiranya seseorang pelajar terlibat secara langsung dalam bidang nyanyian atau lakonan, mereka memerlukan masa yang panjang bukan sahaja untuk mengikuti penggambaran atau pertunjukan yang diadakan malah masa untuk berlatih juga perlu diambil kira. Justeru, kesannya akan menyebabkan kesukaran kepada mereka untuk memperuntukan waktu yang secukupnya pada pelajaran.

...............Pada masa yang sama, penglibatan pelajar dalam Program Realiti Hiburan seperti yang kerap kita lihat di kaca televisyen akan menjejaskan peluang pelajar bergiat dalam aktiviti yang dijalankan di sekolah. Penglibatan mereka juga menyebabkan pelajar terpaksa mengambil cuti untuk melaksanakan kehendak penganjur hiburan mengadakan pertunjukan di mana-mana juga. Akibat terikat dengan kontrak bersama dengan syarikat hiburan, para pelajar terpaksa melupakan tugas utama mereka dalam usia muda iaitu melaksanakan aspek pembelajaran dan mengikuti aktiviti kokurikulum yang telah ditetapkan. Hal seperti ini akan menyebabkan para pelajar yang terbabit ketinggalan dalam pelajaran dan menjejaskan prestasi mereka dalam peperiksaan. Bayangkanlah, apa yang bakal berlaku kepada generasi kita pada masa depan jika rakyatnya tidak berilmu lantaran memilih bidang hiburan dan mengetepikan ilmu pengetahuan. Janganlah pula sampai ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran’.

...............Realiti hidup sebagai seniman sebenarnya adalah terlalu kompleks dan penuh dengan tipu muslihat. Persoalannya, mampukah golongan remaja seperti pelajar mengharungi kehidupan dan menyahut cabaran dalam dunia artis yang penuh cabaran? Bakat yang dimiliki sahaja mungkin tidak mencukupi jika ilmu di dada tidak seberapa. Menyertai bidang hiburan memerlukan seseorang yang mampu mendepani segala rintangan, apatah lagi dunia hiburan masa kini berdepan dengan pelbagai saingan yang terlalu rumit. Dalam usia setahun jagung, kemungkinan untuk menempa nama dalam dunia hiburan adalah terlalu kecil, lantas mereka berdepan pula dengan kemungkinan menghadapi kegagalan. Mampukah golongan semuda ini berdepan dengan kegagalan? Kita amat bimbang, kegagalan akan menjerumuskan golongan pelajar dalam gejala sosial yang tidak sihat seperti penyalahgunaan dadah, sek bebas dan sebagainya. Justeru, sebelum menceburi bidang hiburan, remaja khususnya pelajar perlulah bijak menilai dan memilih sebelum membuat keputusan.

...............Selain itu, dunia hiburan dan pendidikan dilihat sebagai dua dunia yang begitu berbeza. Lihat sahaja pertuturan seorang artis, pergaulan bebas sesame peminat, pakaian malah keseluruhan gaya hidup mereka. Hal ini amat berbeza sama sekali dengan objektif pendidikan yang berperanan melahirkan insan yang seimbang dari segi rohani, emosi dan jasmani. Ambil sahaja contoh rambut seorang artis, bergaya, panjang dan berwarna. Hal ini amat bertentangan dengan kehendak didiplin yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Persoalannya nanti, mahukah golongan golongan pelajar yang telah masuk dalam golongan artis berpakaian kemas, berambut pendek dan menggayakan perlakuan sopan di khalayak ramai? Mampukah mereka merendahkan rasa ego mereka apabila berada di sekolah bersama rakan-rakan mereka yang lain? Kesannya lebih menjurus pada keburukan dan boleh mewujudkan konflik dalam diri pelajar terbabit. Hal inilah yang perlu difikirkan dengan serius sebelum mengambil pendirian untuk menyertai bidang hiburan.
...............Ada pula pandangan yang mengatakan bahawa mereka yang menyertai bidang hiburan adalah individu yang mementingkan ‘glamour’ dan bersifat meterialistik. Kenyataan ini mungkin ada kebenarannya jika dilihat dari situasi industry hiburan kita pada hari ini. Kejayaan seseorang pelajar dalam dunia hiburan mungkin bakal melahirkan pelajar yang bersifat bongkak, sombong dan memandang rakan dan guru sebagai manusia yang tidak patut dihargai. Lihat sahaja perlakuan seorang artis remaja ketika bercakap dengan seorang jururawat di sebuah hospital. Apa pula pandangan anda jika seorang artis remaja mengherdik seorang pengawal di sebuah lapangan terbang di Sepang? Sikap bongkak ini lahir apabila mereka merasakan diri mereka terlalu ‘glamour’ sehingga memandang rendah orang lain yang bukan golongan artis. Natijahnya, sikap negatif sebegini lahir disebabkan kurangnya nilai-nilai moral yang sepatutnya mereka pelajari di sekolah. Malangnya, oleh sebab terlalu banyak waktu digunakan untuk dunia hiburan, nilai-nilai moral sebegini terus dilupakan.

...............Intiharnya, dunia hiburan masa kini bukanlah dunia seorang pelajar. Sebagai pelajar, mereka perlu mempunyai acuan sendiri iaitu menyahut cabaran mendepani bidang ilmu yang terlalu luas dan tidak bertepi. Menuntut ilmu memerlukan komitmen yang menyeluruh dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Andai terbuka hati untuk menyertai industri hiburan, berilah ruang untuk memenuhi ilmu di dada terlebih dahulu kerana hanya ilmu yang mampu membina impian masa depan gemilang.

Saturday 11 June 2011

Punca dan langkah mengatasi masalah disiplin pelajar

Masalah disiplin boleh dikaitkan dengan kegagalan pelajar di sekolah untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Isu ini menjadi perbualan hangat masyarakat lantaran kegagalan golongan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Jadi, apakah faktor yang mendorong masalah ini berlaku dan apakah peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan kerajaan?

............Masalah ini semakin meruncing ekoran kurangnya kasih sayang dan perhatian ibu bapa era globalisasi ini. Ibu bapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa tanggung jawab mereka mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Akibatnya, pelajar terbabit mencari jalan keluar dengan melakukan tindakan-tindakan disiplin yang bertujuan untuk menarik perhatian ibu bapa mereka. Sesungguhnya, kelalaian ibubapalah yang menyebabkan masalah disiplin menjadi-jadi.

............Sementara itu kemunculan media massa turut mendorong masalah ini memuncak dengan drastik. Kelakuan yang tidak senonah yang mereka saksikan telah menimbulkan rasa untuk mencuba pula dalam hati pelajar. Kebanyakan masalah disiplin dikatakan satu cubaan meniru kelakuan yang telah mereka tonton sebelum ini. Jadi, disiplin mempunyai kaitan rapat dengan kejadian disiplin pelajar yang terus merosot itu.

............Rakan sebaya turut menjadi punca masalah disiplin pelajar menjadi-jadi. Pelajar sering menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang mendengar dan sanggup berkorban untuk mereka berbanding ibubapa yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka. Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan memastikan disiplin pelajar itu akan turut merosot dengan drastiknya.

............Tambahan pula, kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekollah mereka kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan ada pelajar yang beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah yang turut kekurangan guru disiplin ini menyebakan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut menentukan peningkatan masalah disiplin pelajar.

............Malah, ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan pelajar turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Program yang menarik dapat menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat beli-belah dan terjerumus ke dalam aktiviti menyalahi disiplin. Masa yang mereka habiskan untuk menjalankan aktiviti ini menyebabkan mereka lebih berdisiplin.

............Kemelut ini mudah dibendung jika ibubapa terlebih dahulu sanggup menngorbankan masa mereka. Ibu bapa hendaklah mengutamakan masa depan anak mereka daripada kejayaan peribadi mereka dalam kerjaya. Ibu bapa harus memberi ruang kepada anak untuk menjadi manusia yang berhemah tinggi. Ringkasnya, ibu bapa penting dalam membanteras isu disiplin ini.

............Kesimpulannya, kemelut disiplin ini sudah lama diperkatakan oleh masyarakat. Saban hari kita disogokkan dengan pelbagai cadangan yang tinggal cadangan sahaja terutama daripada pihak ahli politik. Begitu juga dengan pihak media massa yang hanya tahu menyiarkan sahaja berita sensasi tentang topik ini berulang kali . Mungkin kali ini kita perlu bertegas dan berpijak di bumi nyata

Kejadian Buli Dalam Kalangan Remaja

Apakah itu kes buli? Kes buli membawa maksud masalah yang meliputi kegiatan seperti memeras ugut, menghina, mengejek, menumbuk, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap pemangsanya. Memang tidak boleh dinafikan bahawa dewasa ini, kes buli yang berlaku di sekolah semakin berleluasa dan menjadi-jadi. Hal ini telah mencapai satu tahap yang amat merimaskan dan membimbangkan pelbagai pihak seperti pihak sekolah, ibu bapa, kerajaan, masyarakat dan lain-lain lagi.

............Menurut kajian, kes buli ini menjadi semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar dan semakin serius masalahnya. “Jika tidak kerana angin masakan pokok bergoyang”. Oleh itu, setiap masalah yang berlaku tentu mempunyai puncanya. Terdapat beberapa punca yang telah dikenal pasti sebagai penyumbang kepada masalah kes buli ini.

............Antaranya ialah kekurangan penghayatan nilai-nilai agama yang ada pada pelajar yang sanggup melibatkan dirinya dalam kes buli. Mereka sanggup berbuat demikian hanya untuk mendapatkan perhatian orang lain dan menunjukkan kekuatannya kepada orang lain. Ringkasnya, mereka semakin ketandusan nilai kemanusiaan dalam diri mereka sendiri.

............Selain itu, ibu bapa yang kurang memberikan belaian kasih sayang dan prihatin kapada anak juga menjadi antara puncanya kes buli ini berlaku. Ibu bapa yang selalu sibuk mencari duit dan bersikap materialistik telah mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak mereka.

............Di samping itu, para pelajar yang masih berumur setahun jagung dan berdarah setampuk pinang ini mudah terpengaruh dengan tindakan rakan sebayanya. Jika kawan-kawannya merupakan pembuli, pelajar tersebut juga akan terikut-ikut perbuatan kawannya supaya dapat diterima oleh ahli-ahli kumpulannya. Pengawasan yang longgar di sekolah juga menjadi puncanya kerana telah memberi peluang kepada pelajar yang ingin menjalankan pembulian mereka terhadap pelajar lain.

............Bak kata pepatah ‘tiada penyakit yang tiada penyembuhnya’.Terdapat pelbagai langkah drastik yang boleh dijalankan untuk membendung dan membanteras kemelut ini. Antaranya ialah pihak kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan juga pihak sekolah harus menitikberatkan isu kes buli ini dalam pelajaran di sekolah dengan melalui mata pelajaran tertentu seperti Pendidikan Moral, Pendidikan Islam, Pendidikan Sivik dan sebagainya. Dengan itu, pelajar akan menyedari bahawa perbuatan buli ini merupakan satu kesalahan dan pelajar juga didedahkan dengan pelbagai maklumat tentang kesan buruk daripada perbuatan membuli dan cara-cara mengelakkannya daripada terbabit dalam kes buli ini.

............Selain itu, ceramah atau kempen seperti kempen anti buli juga boleh diadakan secara berterusan di setiap sekolah dari semasa ke semasa bagi menyedari para pelajar agar menjauhi diri daripada gejala buli. Aktiviti seperti kuiz tentang kes buli juga boleh dilaksanakan sebagai salah satu inisiatif dalam menangani masalah kes buli ini.

............Namun begitu, pihak sekolah juga perlu sentiasa memastikan bahawa pengawasan di setiap pelosok kawasan sekolah seperti di belakang bangunan sekolah dan kaki lima sekolah yang sunyi diperketat supaya tidak memberi sebarang peluang kepada mereka yang mempunyai keinginan untuk membuli mangsanya.

............Pihak sekolah juga boleh menggalakkan para pelajar supaya menyertai Kelab Pencegah Jenayah di sekolah dengan aktif. Hal ini kerana para pelajar akan memperoleh lebih banyak pengetahuan tentang cara-cara mencegah masalah kes buli sekiranya pelajar menjadi pemangsa dalam kes itu dan para pelajar juga boleh menyebarkan informasi yang diperoleh itu kepada rakan-rakan yang lain agar semua pelajar tahu akannya.

............Langkah yang lain ialah para pelajar juga harus pandai memilih kawan kerana para pelajar biasanya juga akan mudah terpengaruh dengan perbuatan kawannya. Contohnya, jika kawannya minat membaca buku, maka pelajar tersebut juga akan dipengaruhi dan membaca bersama-sama. Perkara ini sama juga jika kawan pelajar itu sentiasa melibatkan diri dalam kes buli di sekolah.

............Di samping itu, para pelajar juga harus berganding bahu dengan pihak sekolah dalam usaha untuk membendung gejala ini. Para pelajar yang ternampak kes buli itu berlaku atau menjadi mangsa pembuli harus memberanikan diri untuk melaporkan kepada pihak sekolah dengan segera agar masalah itu dapat diatasi dengan secepat mungkin demi kesejahteraan sekolah.

............Manakala, pihak sekolah yang telah menerima laporan aduan daripada pelajar juga harus berusaha mengatasi masalah itu dengan bersungguh-sungguh dan bukan sebaliknya dengan menutup kes itu dengan sesuka hati sahaja. Jika kes ini masih tidak dibicarakan, masalah kes buli akan semakin bertambah dan berleluasa lagi.

.............Pihak sekolah boleh berjumpa dengan pelajar yang disyaki melibatkan diri dalam kes buli dan juga ibu bapanya untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut dan mendapatkan jalan keluarnya. Pihak sekolah harus mengenakan hukuman yang setimpal kepada pelajar tersebut agar dia tidak mengulangi perbuatan itu lagi dan juga dijadikan sebagai iktibar kepada pelajar yang lain.

............Selain itu, ibu bapa juga memainkan peranan yang penting dalam usaha untuk membendung kemelut ini. Ibu bapa haruslah menampilkan teladan yang baik kepada anak-anak mereka supaya anak akan mencontohi kelakuan ibu bapa mereka kerana pada tanggapan anak mereka, perbuatan ibu bapa adalah sentiasa betul dan patut diikuti. Janganlah ibu bapa berlakuan baik di hadapan anak-anak sahaja, sedangkan mereka juga sering mengejek, menghina orang dan sebagainya. Bak kata pepatah ‘bapa borek, anak rintih’, ‘ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget’.

............Tambahan pula, di samping mengejarkan kebendaan dalam kehidupan dan sibuk bekerja, ibu bapa juga harus sentiasa mengambil perhatian tentang keadaan anak mereka semasa di sekolah dan memberikan belaian kasih sayang yang sepenuhnya kepada mereka supaya mereka tidak berasa sunyi dan diabaikan. Ibu bapa juga harus memupuk anak mereka sejak kecil lagi seperti melentur buluh biarlah dari rebungnya agar sentiasa sudi meluahkan isi hati dan masalah yang dihadapi kepada mereka bagi mengatasinya bersama-sama.

............Natijahnya, selagi masalah ini masih berleluasa, impian negara kita yang ingin melahirkan satu bangsa yang bermartabat mulia dan berdaya maju akan tinggal sebagai khayalan sahaja. Hasrat negara kita yang ingin mencapai Wawasan 2020 juga akan tinggal sebagai angan-angan Mat Jenin semata-matanya. Hal ini kerana para pelajar merupakan aset negara yang penting dan akan menerajui negara ini pada masa depan. Bak kata peribahasa Melayu ‘pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara’. Oleh itu, semua pihak haruslah sehilir semudik dan sehati sejiwa dalam usaha menangani masalah kes buli ini walaupun kita terpaksa mengharungi liku-liku yang penuh dengan onak duri ini. Semoga berkat daya usaha yang gigih, kita dapat melahirkan generasi muda yang dapat menjulang nama negara dan mengangkat martabat bangsa dipersada dunia

Peranan Persatuan Pengguna

Saban tahun kita kerap membaca berita mengenai pengguna yang tertipu akibat kerakusan peniaga. Hal ini berlaku kerana kejahilan pengguna sendiri yang tidak tahu peranan mereka sebagai pembeli. Keadaan ini menyebabkan kita terfikir apakah peranan persatuan pengguna dalam menangani masalah pengguna di negara ini.Sebenarnya, persatuan pengguna memainkan peranan penting untuk membantu pengguna mengatasi masalah penipuan oleh penjual.

............Isu kenaikan harga barang-barang mula mendapat perhatian media massa terutama selepas kerajaan memberikan kenaikan gaji kepada pekerja kerajaan. Hal ini bertambah parah apabila berlaku kenaikan harga minyak sehingga mengakibatkan penjual mengambil kesempatan menaikkan harga barangan yang dijual. Berita kenaikan harga barang mula dipaparkan dan pelbagai tindakan telah dilakukan terutama oleh kerajaan untuk membanterasnya. Ada yang berjaya dan ada juga yang hanya cakap-cakap angin sahaja. Cuma, kita tertanya-tanya mengenai peranan persatuan pengguna dalam kemelut yang semakin mencengkam rakyat ini.

............Dalam menangani situasi negatif ini persatuan pengguna perlulah menjelaskan dan menerangkan hak serta kepentingan pengguna dengan lebih mendalam. Persatuan pengguna boleh menjalankan kempen bagi menjelaskan betapa pentingnya pembeli berbelanja dengan bijak. Penerangan ini mampu menyedarkan sebilangan penngguna yang akan memastikan mereka hanya membeli keperluan yang penting dan bukan berbelanja mengikut kemahuan. Kempen penerangan ini seelok-eloknya dijalankan dalam kalangan pelajar terutama pelajar sekolah agar orang ramai terdidik tentang isu kepenggunaan sejak mereka kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini membolehkan kesannya dirasai dalam jangka panjang apabila masyarakat terdidik dengan ilmu-ilmu kepenggunaan.

............Tambahan pula, persatuan pengguna boleh mendedahkan kepincangan dan penipuan yang dilakukan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. Nama-nama peniaga ini boleh didedahkan di dada akhbar atau di media massa yang lain untuk makluman orang ramai. Menyenaraikan nama peniaga yang tidak bertanggungjawab di akhbar pengguna dapat mengelakkan orang ramai daripada terus berbelanja di premis mereka dan secara tidak langsung akan membimbangkan peniaga daripada menipu orang ramai. Maklumat seperti ini mampu membantu pengguna untuk berbelanja dengan bijak kerana mereka sudah pasti tidak mahu ditipu oleh peniaga jenis ini.

............Selain itu, pengguna yang mempunyai masalah dengan peniaga setelah membeli produk atau barangan mereka boleh merujuk kepada persatuan pengguna. Kini, semakin banyak kes pengguna ditipu oleh peniaga tetapi pengguna tidak tahu tempat untuk mengadu. Antara kes penipuan peniaga termasuklah dari segi harga, kualiti, kandungan mahupun tarikh sah luput barangan yang dibeli malah barangan yang dijual sebenarnya indah khabar dari rupa. Justeru, kehadiran persatuan pengguna dalam memberi nasihat kepada pengguna untuk mengambil langkah susulan menangani masalah mereka amatlah besar kesannya. Keadaan ini boleh menyebabkan nasib pengguna terbela dan tidak terus ditekan oleh golongan peniaga yang tidak bertanggungjawab.

............Tambahan pula, kewujudan persatuan pengguna memastikan adanya "pemerhati" senyap di antara pengguna dengan peniaga. Maksudnya, peniaga akan lebih berhati-hati sebelum cuba menipu pengguna kerana sedar setiap tindakan mereka akan dipantau oleh persatuan pengguna. Dalam masa yang sama pengguna pula berasa nasib mereka menerima pembelaan yang sewajarnya. Jadi, kewujudan persatuan pengguna akan memastikan keadaan pasaran sentiasa dalam keadaan baik kerana semua pihak sedar ada pihak ketiga yang memerhatikan keadaan pasaran ekonomi negara.

............Malahan, persatuan pengguna boleh menjalankan perniagaan mereka sendiri. Persatuan pengguna boleh menubuhkan koperasi atau syarikat yang mampu menjual produk kepada pengguna dengan harga yang lebih murah. Kemahiran persatuan pengguna dalam hal-hal meletakkan harga barang sudah pasti memudahkan mereka menjual produk tanpa masalah. Koperasi atau kedai ini boleh dijadikan satu rangkaian di seluruh negara untuk memudahkan masyarakat. Dengan adanya penglibatan persatuan pengguna dalam bidang perniagaan, pengguna berpeluang memperoleh sesuatu barangan keperluan dengan harga yang lebih rendah dan kompetatif. Pertandingan sihat antara persatuan pengguna dengan peniaga lain juga akan mewujudkan persaingan sihat yang bakal mengawal harga pada tahap yang sentiasa rendah.

............Ringkasnya, persatuan pengguna mempunyai tanggungjawab yang besar dan penting di negara ini. Kewujudannya telah menyebabkan kita sebagai pengguna berasa selamat dan peniaga pula lebih berhati-hati. Cuma sejauh manakah keberkesanan persatuan ini yang masih belum terjawab biarpun ramai pihak beranggapan bahawa badan bebas ini berfungsi sebagai payung untuk melindungi pengguna. Mungkin persatuan pengguna harus mencari jalan yang lebih berkesan untuk menyelesaikan kemelut yang melanda pengguna masa kini

Pinjaman Ceti Haram dan Kesannya

Kegiatan ceti haram sememangnya tidak asing lagi pada masa kini. Malah, kegiatan ini juga sering dikaitkan dengan unsur-unsur jenayah berat seperti pengedaran dadah, serta pil-pil khayal, sindiket pelacuran, dan pembunuhan. Kegiatan ini sekiranya tidak diatasi dengan segera, boleh mengundang padah bukan sahaja kepada masyarakat, bahkan juga kepada pembangunan negara. Kini, dalam era yang lebih moden, kegiatan ceti haram lebih terkenal dengan jolokan "along" dan kegiatan mereka kebiasaannya bertumpu di semua bandar di negara kita.

............Isu ceti haram boleh dilihat sebagai kegiatan sekumpulan manusia menjalankan urusan meminjamkan wang haram hasil curian, pengedaran dadah dan sebagainya kepada sesetengah masyarakat yang ‘terdesak’. Pinjamannya mudah diperoleh dengan cepat kerana tidak memerlukan cagaran, penjamin, serta tidak perlu mengikut prosedur tertentu, seperti mana di institusi kewangan yang lain. Hal ini menyebabkan sesetengah masyarakat tidak berfikir panjang untuk meminjam wang daripada ceti haram.

............Kesempitan hidup atau masalah beban kewangan juga turut menjadi faktor orang ramai meminjam daripada ceti haram. Hal ini dikaitkan juga dengan kos hidup yang tinggi, perbelanjaan yang melebihi pendapatan dan kerugian yang dihadapi dalam perniagaan. Tambahan pula, bagi mereka yang sememangnya berpendapatan kecil turut menganggap ceti haram sebagai jalan pintas untuk penyelesaian masalah kewangan mereka. Lantas, mereka bertindak dengan meminjam wang daripada ceti haram dan tidak memikirkan risiko yang bakal dihadapi kelak.

............Namun begitu, terdapat implikasi buruk daripada kegiatan ceti haram ini. Bagi ceti haram, mereka akan menjejaki si penghutang sehingga ke ‘lubang cacing’ dan akan memberikan amaran pertama, kedua dan seterusnya kepada si penghutang. Sekiranya si penghutang tidak mampu untuk melangsaikan hutangnya, maka ceti haram tidak akan teragak-agak untuk mencetuskan keganasan berupa penderaan dan juga pembunuhan. Malahan yang lebih menakutkan, ceti haram juga akan menjejaki keluarga si penghutang untuk dijadikan tebusan bagi mendapatkan semula wang mereka. Jika tidak pun, rumah mereka akan disimbah cat atau keluarga mereka dimaki hamun sebagai cara untuk memalukan si peminjam agar melangsaikan hutang mereka. Malangnya, tindakan ganas ini bagaimanapun masih tidak menyedarkan ramai pihak agar menjauhi ceti haram berkenaan.

............Bagi si penghutang, ancaman berterusan yang diterima daripada penceti haram menyebabkan mereka semakin tertekan dan bagi mereka yang lemah dari segi iman dan pendidikan, mereka akan mengambil jalan mudah dengan membunuh ahli keluarga sebelum bertindak membunuh diri sendiri supaya penceti haram tidak dapat menjejaki mereka sekeluarga. Apa tidaknya, bunga yang dikenakan oleh ceti haram bukanlah calang-calang tingginya. Pinjaman seribu dua mungkin boleh mencecah puluhan ribu dalam tempoh yang singkat sehingga menyebabkan si penghutang tidak mampu membayar hutang mereka. Hal seperti inilah yang sepatutnya menjadi perkiraan utama kepada orang ramai sebelum membuat keputusan untuk melibatkan diri dengan ceti terbabit.

............Intihanya, masyarakat hari ini hendaklah bersatu tenaga bersama-sama pihak berkuasa untuk menangani kegiatan jenayah ini daripada berleluasa. Hal ini perlu untuk menjaga keharmonian, keamanan dan kestabilan dalam negara. Pihak berkuasa perlulah bertindak tegas kepada ceti haram dan juga pihak yang membuat pinjaman kepada ceti haram berkenaan. Kerajaan telah menyediakan pelbagai alternatif agar orang ramai meminjam daripada institusi kewangan yang diiktiraf seperti pihak bank. Jadi, tidak timbul isu mengapa kita tidak boleh melepaskan diri daripada cengkaman ceti haram demi mengatasi masalah kewangan kita

Bagaimana Menjadi Pengguna Bijak

............Keperluan membentuk kesedaran dalam kalangan para pengguna demi memantapkan ekonomi negara adalah satu agenda yang berkepentingan tinggi dalam usaha kerajaan untuk melaksanakan suatu aliran “Pengguna Perkasa”. Jika pada suatu masa dahulu, penjual, pembekal atau pun pengilang boleh bertindak menaikkan harga sesuatu barangan di pasaran terutamanya apabila menjelang sesuatu musim perayaan mengikut suka hati mereka, hari ini dengan kesedaran dalam kalangan pengguna khususnya bahawa kekuatan sebenarnya berada dalam tangan pengguna sendiri, keadaan-keadaan seperti ini telah semakin berkurangan. Kegiatan yang tidak bertanggungjawab ini, jika tidak dibendung dengan berkesan akhirnya akan membahayakan ekonomi negara dan akibatnya masyarakat juga yang akan menanggung rugi.

............Jika pengguna terasa ditipu dengan sesuatu produk, maka pengguna boleh bertindak memboikot barangan berkenaan. Tindakan ini akhirnya akan memberi kesan kewangan negatif kepada syarikat pembuat barangan berkenaan, dan ini akan memberi kesedaran kepada mereka tentang “kuasa pengguna”. Kesedaran dan keprihatinan ini perlu datang daripada para pengguna sendiri. Contohnya apabila kita membeli tepung sekampit yang ditulis berat bersihnya 1 kilogram, adalah wajar bagi kita menimbang semula kampit tepung berkenaan dan memastikan bahawa berat bersih produk berkenaan adalah benar-benar 1 kilogram. Sebagai pengguna prihatin, kita juga perlu mengambil tahu dengan lebih teliti tentang barangan yang kita beli. Apakah ramuannya? Adakah bahan pewarna yang digunakan menepati syarat-syarat kesihatan pengguna seperti yang telah di tetapkan oleh kerajaan? Adakah produk berkenaan mengandungi MSG? Adakah produk itu benar-benar berstatus halal? Adakah harga jualannya menepati harga yang telah ditetapkan oleh kerajaan? Ketika membeli belah, berapa ramaikah yang akan membelek-belek dan membaca setiap satu pek atau tin barangan yang hendak dibeli dan membuat perbandingan harga setiap produk yang dibeli? Isu-isu sebeginilah yang perlu menjadi perhatian para pengguna hari ini.

............Fenomena kenaikan harga barangan keperluan ini bukanlah suatu masalah yang cuma berlaku di Malaysia sahaja, malahan telah menjadi suatu permasalahan global hari ini. Pada Oktober 2007, rakyat Itali telah memboikot keluarangan barang-barang “pasta” apabila harga makanan ini naik melebihi 20 peratus dalam masa seminggu. Hasil daripada tindakan ini pengeluar “Pasta” terpaksa akur kepada sentimen “kuasa pengguna” Itali, dan menurunkan semula kadar harga barangan berkenaan. Mekanisma penyebab pada kenaikan harga barangan sememangnya berhubung rapat antara satu sama lain. Contohnya di Mexico, apabila permintaan meningkat untuk minyak bio-diesel yang dipanggil “Ethanol” yang dihasilkan daripada jagung, maka harga jagung di pasaran terus melambung dan ini menyebabkan timbulnya masalah bekalan jagung kepada penternak lembu tenusu yang juga memerlukan jagung sebagai makanan utama untuk haiwan ternakan mereka. Ekoran ini harga susu, keju, dan mentega pula turut naik di pasaran Mexico. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Pertanian dan Pemakanan Sedunia yang beribu pejabat di Brussels, harga pasaran makanan sedunia pada hari ini naik sebanyak 70 peratus berbanding dengan harga pada tahun 2000. Jadi sebagai pengguna yang bijak, mereka perlu bertindak dengan menggunakan "kuasa pembeli" mereka.

............Hakikatnya pada hari ini, dengan meningkatnya taraf hidup bagi penduduk-penduduk di negara-negara membangun dunia yang besar seperti China dan India, maka permintaan dunia untuk barangan seperti gandum, beras, minyak masak dan bahan-bahan keperluan asas kehidupan yang lain akan terus juga meningkat. Faktor lonjakan harga minyak dunia juga bererti bahawa kos dalam proses pembuatan serta penghantaran akan terus meningkat dan ini akan menyumbang pada peningkatan harga barangan di pasaran. Faktor cuaca juga memainkan peranan yang penting bagi sektor penanaman sedunia. Permintaan bahan mentah seperti jagung, gandum dan lain-lain lagi untuk diproseskan menjadi bio-fuel atau ethanol adalah juga merupakan faktor penyumbang kepada kestabilan harga barangan pasaran.

............Manusia memerlukan tiga perkara asas untuk kehidupan iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal. Akibat krisis bekalan makanan yang gagal dikawal, akan membawa kepada kemelut kenaikan harga bekalan makanan di pasaran dan ini akan akhirnya menyebabkan berlakunya inflasi pada ekonomi sesebuah negara. Oleh itu, pemantauan dan usaha berterusan perlu diperhebatkan lagi dalam usaha untuk menangani apa-apa jua krisis bersangkutan yang berkemungkinan akan timbul pada masa depan. Kita sebagai pengguna yang bijak adalah agen pemerhati harga barangan di pasaran yang paling efektif untuk membantu pihak kerajaan memantau pergerakan harga-harga pasaran. Selain itu, akta undang-undang perlindungan pengguna yang membawa kepada hukuman yang lebih drastik mestilah terus digubal demi untuk perlindungan jangka panjang kepada pengguna.

............Kementerian yang telah dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menjaga hal ehwal pengguna ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. Pelbagai langkah proaktif telah diambil oleh kementerian terbabit demi memastikan kebajikan pengguna benar-benar terjamin. Antara langkah-langkah berikut adalah dengan menubuhkan Stok Penimbal Kebangsaan serta Penubuhan Majlis Harga Negara. Kerajaan juga turut mengenakan larangan membawa keluar barangan kawalan dari Malaysia serta memberi pengetahuan dan kefahaman kepada pengguna tentang hak-hak mereka melalui penggubalan rang undang-undang “Akta Perlindungan Pengguna 1999” dan penubuhan Mahkamah Tribunal Pengguna. Pada masa yang sama, kerajaan juga menggerakkan sektor pertanian negara secara aggresif sebagai langkah membangunkan Sarawak sebagai “Negeri Jelapang Padi Kedua Negara”.

............Tindakan-tindakan ini telah berjaya mengawal kestabilan harga barangan di pasaran dan juga dengan bantuan padu beberapa agensi berwajib yang lain, telah dapat mengurangkan kadar aktiviti penyeludupan bahan makanan ke negara jiran. Hasil daripada pemantauan berterusan dan beberapa lagi langkah susulan proaktif kerajaan, kebajikan dan kesejahteraan kita sebagai pengguna telah dapat dimantapkan lagi. Dengan terlaksananya perubahan-perubahan kritikal ini, telah dapat membantu untuk memangkinkan lagi ekonomi negara. Justeru marilah kita sebagai pengguna bersama-sama memupuk kesedaran tentang hak-hak kita, langsung menjalankan tanggungjawab sosial kita dan juga memartabatkan diri kita sebagai “Pengguna Bestari”.

Amalan berjimat cermat dan menabung

Amalan berjimat cermat merupakan sikap yang mulia dan seharusnya dipraktikkan sepenuhnya oleh masyarakat Malaysia apatah lagi dengan keadaan harga barangan yang semakin meningkat kesan daripada kenaikan harga bahan bakar di pasaran dunia. Sikap boros ketika berbelanja haruslah ditangani agar tidak menyusahkan diri dan keluarga. Oleh itu, langkah-langkah yang sewajarnya perlu diambil untuk menanamkan sikap berjimat cermat dalam kalangan masyarakat.

............Antara langkah efektif yang telah diambil oleh kerajaan untuk mengalakkan rakyat Malaysia mengamalkan sikap mulia ini adalah dengan menanmkan sikap rajin menabung. Kerajaan telah mengambil inisiatif bagi memupuk semangat menabung dalam kalangan pengguna. Pengenalan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ialah contoh kesungguhan kerajaan untuk menyedarkan masyarakat akan pentingnya perancangan masa depan kerana kita perlu menyediakan payung sebelum hujan.

............Ibu bapa juga seharusnya memupuk sikap suka menabung kepada anak-anak sejak dari kecil lagi. Anak-anak harus dididik mempunyai tabungan sendiri di rumah iaitu menabung wang lebihan perbelanjaan sekolah mereka dan menggunakan simpanan mereka apabila ingin membeli barangan keperluan sendiri. Ibu bapa juga boleh membuka akaun simpanan anak-anak di bank-bank tempatan seperti Bank Simpanan Nasional , bank Rakyat dan sebagainya kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Institusi perbankan hendaklah dimanfaatkan sebagai tempat menyimpan wang yang selamat dan hasil daripada tabungan ini dapat digunakan untuk keperluan masa depan yang lebih gemilang.

............Masyarakat juga hendaklah prihatin akan peranan skim-skim saham amanah. Kementerian Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna telah menjayakan Minggu Saham Amanah bagi memupuk kesedaran melabur dalam kalangan pengguna. Oleh itu, masyarakat hendaklah sedar akan peluang yang terbuka luas untuk melabur dan seterusnya mendapat dividen yang diagihkan pada setiap tahun. Hal ini pasti akan mendatangkan kebahagiaan kepada masyarakat kerana masyarakat yang bahagia mempunyai masa depan yang terjamin.

...........Sebelum membeli barangan, perancangan yang teliti hendaklah dilakukan terlebih dahulu. Barang-barang yang mahu dibeli perlu disenaraikan. Perbelanjaan berhemat ini wajar dipraktikkan bagi mengelakkan sebarang pembaziran dan masyarakat hendaklah membeli barangan mengikut keperluan, bukan mengikut nafsu. Ketika berbelanja, penggunaan kad kredit juga patut dielakkan kerana akan menambah beban tanggungan hutang dan lama kelamaan pengguna akan mengalami masalah kewangan. Justeru, mayarakat wajar berpegang pada peribahasa berjimat sebelum terlambat, beringat sebelum terkena.
............Kesimpulannya, amalan berjimat cermat sudah pasti akan melahirkan masyarakat yang bijak dan progresif kerana mempunyai sumber kewangan yang mencukupi dan sudah tentu untuk jaminan masa hadapan yang lebih cerah, seperti kata tokoh Mahatma Gandhi, berfikirlah untuk hari esok, namun bertindaklah hari ini. Oleh yang demikian, pelbagai pihak wajar memainkan peranan agar amalan berjimat cermat menjadi budaya masyarakat kita setiap masa tanpa mengira peringkat umur.

Monday 6 June 2011

Kepentingan Mempelajari Sejarah

Kejayaan sesebuah negara berasaskan kegemilangan zaman silam. Peristiwa masa lampau amat berguna untuk dijadikan pedoman hidup masa sekarang dan akan datang. Sehubungan itu, kita mesti mempelajari sejarah kerana membawa pelbagai manfaat yang positif.
      Sejarah amat berguna untuk mewujudkan patriotisme dalam kalangan masyarakat terutamanya remaja. Semangat menentang penjajah yang ditunjukkan oleh para pejuang kemerdekaan zaman dahulu mampu mewujudkan semangat patriotik dalam diri para remaja.
      Kepentingan sejarah terbukti dengan mewajibkan mata pelajaran Sejarah di peringkat sekolah.
      Selain itu, melalui sejarah kita boleh belajar daripada kesilapan yang berlaku pada waktu dahulu. Peristiwa Melaka dijajah Portugis pada tahun 1511 perlu dijadikan iktibar oleh para pemimpin dan rakyat pada masa sekarang. Jika kita leka, tidak mustahil kemerdekaan kita selama ini juga turut terancam, kerana pelanduk sering melupakan jerat, tetapi jerat tidak pernah melupakan pelanduk.
      Pendek kata, tanpa sejarah kita akan menjadi masyarakat yang tidak mempunyai panduan. Oleh itu, dalam kesibukan mengejar kemajuan sains dan teknologikita tidak harus melupakan sejarah dan asal usul kita agar wawasan negara pada masa akan datang tidak akan terjejas.

Kesan Penebangan Hutan Di Negara Kita

Hutan merupakan khazanah alam yang amat berharga kepada umat manusia. Hutan bukan sahaja berfungsi membekalkan oksigen kepada kita, malah menyediakan habitat kepada flora dan fauna. Namun, proses pembangunan telah menyebabkan hutan ditebang dan dibersihkan.
     Impak utama daripada penebangan dan pembersihan hutan ialah tanah runtuh. Tanah runtuh terjadi akibat tiadanya pokok-pokok yang selama ini bertindak sebagai penyokong tanah. Peristiwa tanah runtuh di Selangor dan Pulau Pinang pada tahun 2006 telah mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda.
    Selain itu, kepupusan flora dan fauna juga akan berlaku. Pembersihan hutan untuk tujuan pembangunan akan mengakibatkan banyak hidupan hutan akan terjejas kerana tiada sumber makanan dan tempat tinggal yang sesuai. Generasi akan datang juga akan menerima impaknya kerana tidak mengenali flora dan fauna yang pupus.
     Konklusinya, sikap mementingkan keuntungan oleh sesetengah pihak haruslah dibendung sebelum hutan kita musnah. Pemodenan yang kita impikan mungkin akan memakan diri kita pada masa akan datang bak kata pepatah menang sorak kampong tergadai.

Penyakit Kanser

Penyakit kanser telah meragut beribu-ribu nyawa pada setiap tahun. Terdapat beberapa jenis kanser yang sering kita tonton dan dengar melalui media masa. Kanser payudara dan servik sering menyerang kaum wanita. Terdapat juga kanser tulang, darah dan jenis kanser lain.
     Sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlu kerap melakukan pemeriksaan kesihatan bak kata pepatah mencegah lebih baik daripada mengubati. Pemeriksaan kesihatan perlu dilakukan di hospital atau klinik secara berkala. Hal ini kerana kanser jika dapat didiagnosis pada peringkat awal lebih mudah untuk diubati.
     Bukan itu sahaja, kita perlu mendapat maklumat yang tepat tentang penyakit kanser melalui wahana yang betul. Sebagai contoh, dapatkan maklumat melalui ceramah kesihatan yang sering diadakan, risalah dan majalah kesihatan. Perkara ini penting untuk mengelakkan sebarang salah anggap yang boleh melemahkan semangat penghidap kanser.
     Konklusinya, kanser amat ditakuti oleh semua lapisan masyarakat. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah bertindak menyalurkan maklumat terkini melalui pelbagai cara kepada masyarakat. Kini, pihak masyarakat pula perlu peka dengan kesihatan diri demi keluarga dan negara tercinta. 

Kepentingan Sungai


Sungai pada suatu masa dahulu merupakan jalan pengangkutan kepada orang ramai. Sungai juga pernah menjadi sumber untuk minum, mandi, dan memnersihkan pakaian. Kini, sungai di negara kita telah dicemari dengan pelbagai sampah sarap yang dibuang oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
      Sungai membekalkan sumber rezeki kepada nelayan dan sumber protein kepada kita semua. Sungai yang bersih menjadi habitat pelbagai jenis hidupan air seperti ikan dan udang. Air sungai juga turutdiempang ke kolam ternakan ikan air tawar.
      Bukan itu sahaja, sungai yang bersih juga berpotensi dimajukan sebagai kawasan rehat dan rekreasi. Kawasan sungai boleh dijadikan tempat beriadah untuk melepaskan tekanan dan lelah. Hal ini sekali gus dapat menarik pelancong dan menjana ekonomi negara.
      Pendek kata, sungai sememangnya penting dalam kehidupan kita. Sungai yang bersih menjadi nadi kesejahteraan hidup kita. Maka, sama-samalah kita menjayakan kempen Cintailah Sungai Kita.